Sunday, August 25, 2013

Pembinaan Negara Bangsa


Persoalan negara bangsa selalunya tidak asing dalam mana-mana sesi perbincangan berkenaan sesebuah negara dan perkembangannya, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran abad ke-21. Di Malaysia, pembinaan negara bangsa sudah menjadi matlamat utama yang ingin dicapai kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang didiami oleh masyarakat pelbagai kaum. Keupayaan membina sebuah negara bangsa dilihat sebagai kemuncak kejayaan sesebuah negara, pentadbiran dan penduduknya. Konsep negara bangsa merupakan gabungan tiga komponen utama iaitu negara, individu dan bangsa. Menurut Jayum A.Jawan (1997), pembinaan negara bangsa merujuk kepada proses memupuk penghayatan dan pengalaman sifat-sifat kenegaraan dan sesebuah negara yang bertaraf bangsa yang sudah mencapai suatu tahap integrasi dan perpaduan yang sempurna. Selaras dengan pembentukan wawasan negara bangsa, pendidikan berperanan sebagai alat sosialisasi politik bagi membina kesedaran baru dan membangkitkan imej baru Malaysia sebagai sebuah negara bangsa. Sejarah boleh digunakan sebagai asas pembinaan negara bangsa melalui proses-proses membentuk kesinambungan, perpaduan, negara bangsa, mengorak perubahan sosial, ekonomi bangsa negara serta sumber inspirasi. Proses kesinambungan ini dapat diperoleh melalui pendidikan sejarah serta membolehkan pembinaan negara bangsa dicapai hasil penelitian terhadap kewujudan atau pembentukan masyarakat.



No comments:

Post a Comment